Penyakit Asma Berkaitan Pekerjaan | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Penyakit Asma Berkaitan Pekerjaan

Penyakit Asma Berkaitan Pekerjaan

Penyakit Asma Berkaitan Pekerjaan

 

Penyakit Asma yang berkaitan pekerjaan dikenali sebagai Asma Pekerjaan. Ini berlaku disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan akibat alahan kepada agen Asma yang terdapat di tempat kerja. Berdasarkan laporan statistik penyakit pekerjaan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), terdapat sebanyak 13 kes penyakit Asma Pekerjaan di kesan di Malaysia pada tahun 2016. Ini menyumbang kepada hampir 3.0% penyakit pekerjaan yang dikaitkan dengan sistem pernafasan.

Asma Pekerjaan dikategorikan kepada dua iaitu:

  • Work-induced asthma atau Asma yang dicetuskan oleh agen yang terdapat di tempat kerja. Ia bermaksud seseorang yang tidak pernah menghidap penyakit Asma dan tiada sejarah keluarga Asma tetapi mendapat penyakit Asma semasa terdedah kepada agen di tempat kerja.
  • Work-aggravated asthma atau Asma yang diterukkan oleh agen yang terdapat ditempat kerja. Ini bermakna seseorang yang pernah menghidap penyakit Asma sejak kecil dan mempunyai sejarah penyakit Asma di dalam keluarga, dan Asma beliau diterukkan lagi dengan pendedahan agen di tempat kerja.

 

Adakah gejala Asma Pekerjaan sama dengan penyakit Asma yang lain?

 

Gejala Asma Pekerjaan hampir sama dengan Asma yang lain seperti sukar bernafas (Gambar 1), batuk, nafas berbunyi, dada terasa sempit dan sebagainya.

Gejala-gejala ini mungkin terjadi selepas beberapa hari/bulan/tahun pendedahan di tempat kerja. Namun begitu bagi Asma Pekerjaan, gejala ini dirasakan berkurangan sekiranya pesakit bercuti atau berpindah ke bahagian lain yang tidak terdapat agen penyebab Asma. Justeru itu, adalah penting pesakit diperiksa oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan untuk mengesahkan gejala tersebut.

 
Gambar 1. Simptom Asma iaitu Sesak Nafas

 

Siapakah pekerja yang berisiko mendapat penyakit Asma Pekerjaan?

 

Contoh pekerja yang berisiko tinggi mendapat Asma Pekerjaan adalah mereka yang terdedah kepada hama, kulat, debunga, wap kimia, wasap dan kabus, habuk sayuran, habuk logam (Gambar 2), habuk kayu (Gambar 3), semburan pestisid (Gambar 4) dan yang seumpama dengannya.

         Gambar 2: Aktiviti pematerian   
  Gambar 3: Aktiviti perkayuan 
Gambar 4: Semburan pestisid

 

 

Pencegahan Serangan Asma Pekerjaan

 

Kaedah terbaik untuk mencegah serangan Asma adalah bekerja dalam persekitaran yang tiada agen penyebab Asma seperti yang disenaraikan di atas. Namun begitu langkah kawalan lain yang lebih praktikal yang boleh diambil adalah seperti berikut :-

 

  • Patuhi prosedur kerja yang sihat dan selamat.
  • Pastikan langkah-langkah kawalan di tempat kerja berfungsi dengan baik.
  • Cuba kenalpasti agen yang difikirkan boleh mencetus serangan Asma.
  • Hindari pendedahan kepada agen yang boleh mencetus serangan Asma.
  • Gunakan alat perlindungan diri yang sesuai sepanjang masa seperti topeng pelindung muka atau alat penapis pernafasan (respirator) untuk mencegah dari tersedut agen penyebab asma.
  • Berhenti merokok
  • Ambil ubat Asma seperti yang diarahkan oleh doktor
  • Dapatkan nasihat perubatan lebih awal jika dirasakan anda menghidapi penyakit Asma Pekerjaan
  • Laporkan kepada majikan/Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PTJ supaya langkah kawalan yang bersesuaian dapat diambil untuk memperbaiki persekitaran pekerjaan
  • Majikan perlu mengenalpasti pekerja yang berisiko dan menyediakan alat pelindung diri yang mencukupi dan sesuai kepada para pekerja
  • Jalankan pemeriksaan perubatan secara berkala seperti Lung Function Test/Peak Flow Meter

 

Rawatan penyakit Asma Pekerjaan

 

Secara umumnya, Asma Pekerjaan yang masih diperingkat awal boleh dipulihkan dengan mengawal pendedahan diri terhadap agen penyebab Asma. Namun begitu bagi Asma Pekerjaan yang telah lama dihidapi mungkin memerlukan rawatan yang berterusan walaupun telah berusaha sebaik mungkin untuk menghindari diri dari terdedah kepada agen penyebab Asma.

           

Rawatan Asma Pekerjaan adalah sama dengan Asma biasa iaitu menggunakan ubat-ubatan dan menghapuskan agen yang menjadi penyebab kepada Asma Pekerjaan. Terdapat dua rawatan utama bagi penyakit Asma Pekerjaan iaitu :-

 1. Ubatan-ubatan

  • Untuk memperbaiki sekatan pada saluran pernafasan (ubatan untuk kelegaan yang segera) dan kawalan jangka panjang (mencegah serangan Asma dari berulang) (Gambar 5).

 

2. Jauhkan diri dari terdedah kepada agen di tempat kerja yang boleh mencetus serangan Asma dengan:-

  • Menghapuskan agen di tempat kerja melalui kawalan agen tersebut di tempat kerja
  • Memperbaiki pengudaraan atau ventilasi persekitaran tempat kerja
  • Menggunakan alat perlindungan diri (Gambar 6)
  • Bekerja di tempat baru yang tiada agen penyebab Asma
    
 Gambar 5: Penggunaan ubat inhaler untuk kawalan asma
  Gambar 6: Penggunaan alat pelindung diri dipersekitaran berhabuk

Rujukan

Kementerian Kesihatan Malaysia.  Asma dan Pekerjaan. Retrieved September 28, 2018, from http://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/risalah/item/Asma-dan-pekerjaan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (2018). Laporan Tahunan 2016. Retrieved September 28, 2018, from https://www.perkeso.gov.my/images/laporan_tahunan/LaporanTahunan2016.pdf

 

Disediakan oleh:

Dr Arma Noor
Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan

Tarikh Input: 30/10/2018 | Kemaskini: 05/08/2019 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697350
0397698878
C1573503311