Mengantuk Selepas Berbuka Dan Sahur? | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Mengantuk Selepas Berbuka dan Sahur?

Mengantuk Selepas Berbuka dan Sahur?

“Doktor, kalau hari biasa, bangun pukul 5 pagi, sampai pukul 11 pagi, saya rasa segar dan tak mengantuk. Tapi bila  bulan Ramadan, bangun pun sama je pukul 5 pagi, tapi lepas sahur dan lepas berbuka, mata tu mengantuk tak boleh bawa bincang. Normal ke tidak, doktor ?”

Jawapannya, ia boleh jadi normal atau tidak normal.

Pertama sekali, mari kita memahami apa yang berlaku di dalam sistem pencernaan kita.

 

Sewaktu kita makan, sistem pencernaan akan memecahkan nutrien dari makanan dan mengubahnya menjadi glukosa. Apabila paras glukosa dalam darah sudah tinggi, tubuh akan mengeluarkan hormon amylin,glucagon dan cholecystokinin yang menghantar signal kepada otak supaya mewujudkan rasa kenyang dan kita pun berhenti makan.

 

Paras gula yang tinggi dalam darah juga akan merangsang pengeluaran hormon insulin yang berfungsi untuk membawa glukosa masuk ke dalam sel. Glukosa yang telah dimasukkan ke dalam sel akan digunakan sebagai tenaga dalam proses metabolisme sel.

 

Selain itu insulin juga berperanan untuk membawa asid amino jenis tryptophan (sumbernya adalah makanan) dari salur darah ke dalam  otak. Apabila tiba di otak, tryptophan akan meningkatkan penghasilan neurotransmitter bernama serotonin yang bertanggungjawab membuat kita merasa tenang seperti sedang berehat dan seterusnya rasa mengantuk terhasil.

 

Antara faktor lain yang mempengaruhi rasa mengantuk selepas makan ini ialah jenis makanan. Makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi (kerana ia menigkatkan paras insulin) serta makanan yang kaya dengan protein, seperti daging, ayam, telur, ikan, bayam, keju, kacang soya (kerana ia mengandungi asid amino jenis tryptophan).

 

Sementara itu, tabiat tidur yang tidak teratur juga boleh menyebabkan rasa mengantuk selepas makan terutamanya jika tidur tidak berkualiti pada malam sebelumnya.

 

Jadi, kenapa selepas berbuka dan bersahur kita rasa lebih mengantuk daripada hari biasa? Sedangkan daripada penerangan di atas, kita boleh rasa mengatuk bila-bila masa sahaja selepas makan dan bukan khusus pada bulan puasa sahaja.

 

Sebenarnya jika diteliti, kita banyak mengambil makanan yang tinggi karbohidarat pada bulan puasa. Air sejuk dan manis adalah pilihan utama ketika berbuka. Ditambah pula dengan faktor psikologi seperti kepercayaan bahawa “aku kena makan banyak sebab siang tadi tak makan” dan juga “aku kena makan banyak sahur ni sebab esok tak boleh makan” menyebabkan “rasa mengantuk tu tak boleh bawa bincang”.

 

Untuk mengelakkan atau mengatasi masalah ini, berbukalah dengan cara yang sederhana. Jangan makan terlalu banyak dan janganlah makan dengan terburu-buru

 

Sekiranya rasa mengantuk and berterusan sehingga mengganggu kerja seharian, mungkin juga ia adalah tanda-tanda penyakit seperti Celiac, Anemia, Food Intolerance, alahan, sleep apnea, atau masalah kelenjar tiroid yang tidak aktif. Inilah masanya anda perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut

 

Sumber asal : Twitter Dr. Samhan dengan pengubahsuaian oleh PKA

Tarikh Input: 15/04/2021 | Kemaskini: 15/04/2021 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEUQAa~