HIKMAH MAKAN BUAH SEBELUM HIDANGAN | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » HIKMAH MAKAN BUAH SEBELUM HIDANGAN

HIKMAH MAKAN BUAH SEBELUM HIDANGAN

 

Di Malaysia, buah- buahan biasanya dihidangkan sebagai pencuci mulut yang dimakan selepas sebuah hidangan. Tetapi, adakah anda tahu terdapat banyak kelebihan mengambil buah terlebih dahulu sebelum memulakan hidangan?

Buah merupakan kumpulan makanan yang penting bagi memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang. Buah- buahan dan sayur- sayuran terletak di aras pertama dalam piramid makanan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini bermakna buah dan sayur adalah makanan yang perlu diambil dalam kadar yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 3 sajian bagi sayur dan 2 sajian bagi buah dalam sehari. Persoalannya, bilakah waktu terbaik untuk mengambil buah?

Piramid makanan Malaysia yang disarankan oleh KKM (Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia)

Anda boleh mengambil buah bila-bila masa sahaja. Waktu pagi dan masa snek antara hidangan merupakan antara masa yang dicadangkan oleh pakar kesihatan.

Jadi, mari kita bincangkan beberapa kelebihan yang boleh kita perolehi jika kita mengambil buah-buahan sebelum  hidangan. Jika anda ingin menurunkan berat badan, makan buah 30 minit sebelum hidangan adalah jalan terbaik. Hal ini demikian kerana buah-buahan mengandungi kandungan fiber yang tinggi dan membantu anda kekal kenyang dalam tempoh yang panjang. Selain itu, kandungan fiber yang tinggi juga memperlahankan proses penghadaman.  Oleh itu, anda dapat mengurangkan pengambilan kalori dan bahagian makanan anda dalam sebuah hidangan.

Di samping membantu melancarkan proses penghadaman, pengambilan buah- buahan sebelum hidangan juga mengoptimumkan fungsi antioksida, iaitu menyingkirkan radikal bebas. Radikal bebas yang berlebihan boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti kanser. Oleh yang demikian, pengambilan buah mampu mengelakkan penyakit berbahaya.

Penyerapan nutrisi yang lebih baik dapat dilakukan jika kita makan buah sebelum hidangan berbanding selepas hidangan. Buah mengandungi kandungan gula yang memerlukan tempoh masa yang lebih panjang untuk dicernakan. Oleh sebab itu, nutrisi daripada makanan lain mungkin tidak dapat diserap dengan baik jika kita makan buah selepas hidangan.

Epal, pear, pisang dan raspberi antara buah- buahan tinggi fiber yang disyorkan pakar kesihatan manakala anggur, strawberi, dan betik merupakan antara buah yang kaya dengan antioksida. Walau bagaimanapun, pengambilan buah- buahan perlu diambil dalam jumlah yang sederhana dan tidak berlebihan terutamanya bagi pesakit diabetes bagi mengelakkan pengambilan gula berlebihan.

Kesimpulannya, makan buah sebelum hidangan membawa banyak kebaikan berbanding makan buah selepas hidangan. Jadi, marilah kita bersama-sama mengubah cara pemakanan kita untuk hidup yang lebih sihat.

Rujukan:

https://food.ndtv.com/food-drinks/should-you-eat-fruits-before-or-after-a-meal-1833330

Rozier, V. (2014). Best Time To Eat & Exercise Guide: The best time to exercise, eat (carbs, proteins, veggies, fruit, fiber, dairy, etc.) and drink (water, alcohol, coffee, and tea) (Best Time Guide). Step One Publishing.

 

Artikel disediakan oleh:
Nur Khairunnisa binti Mohd. Azhari
Pelajar Latihan Industri,
Bacelor Sains (Sains Bioperubatan),
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia.

 

Tarikh Input: 27/10/2021 | Kemaskini: 27/10/2021 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEaDAH~