APAKAH ITU SINDROM PENGLIHATAN KOMPUTER? | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » APAKAH ITU SINDROM PENGLIHATAN KOMPUTER?

APAKAH ITU SINDROM PENGLIHATAN KOMPUTER?

APAKAH ITU SINDROM PENGLIHATAN KOMPUTER?

Setiap hari, ramai di antara kita mempunyai pekerjaan yang memerlukan kita merenung skrin komputer selama berjam-jam. Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan otot di mata.

Masalah mata yang disebabkan oleh penggunaan komputer dikenali sebagai Sindrom Penglihatan Komputer atau Computer Vision Syndrome (CVS). Sindrom Penglihatan Komputer (CVS) ditakrifkan sebagai satu kumpulan masalah mata dan penglihatan yang berpunca daripada penggunaan komputer yang berpanjangan (Persatuan Optometrik Amerika, 2007). Ia bukan satu masalah tertentu. Sebaliknya, ia merangkumi beberapa gejala yang melibatkan ketegangan mata dan kesakitan tubuh. Di Malaysia, kajian yang dilakukan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menunjukkan bahawa 61.4% pekerja yang menggunakan komputer di tempat kerja mengadu sakit belakang, sakit bahu dan leher, manakala 70.6% daripadanya mengadu sakit mata yang semuanya berkaitan dengan CVS (Loh et al., 2008). Kajian keratan rentas telah dijalankan di 10 fakulti yang dipilih secara rawak di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan sejumlah 146 kakitangan pentadbiran tetap yang bekerja dengan komputer sekurang-kurangnya 3 jam sehari, 92 (63%) responden mengalami CVS (Zainuddin & Isa 2014). Walaupun masih belum ada bukti mengatakan penggunaan komputer menyebabkan kerosakan mata secara kekal, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan sementara yang seterusnya dapat mengurangkan produktiviti, kehilangan masa kerja dan mengurangkan kepuasan kerja.

 

BAGAIMANA KOMPUTER MEMPENGARUHI PENGLIHATAN?

Sindrom Penglihatan Komputer berlaku disebabkan pergerakan mata yang berulang-ulang. Semakin lama kita menggunakan komputer, pergerakan otot mata yang berulangkali ini boleh menyebabkan otot mata semakin tegang dan sakit, sehingga boleh mengakibatkan sakit kepala.

Apabila anda bekerja di hadapan komputer, mata anda perlu sentiasa fokus sepanjang masa. Otot mata bergerak secara berulang-ulang semasa membaca. Tidak seperti membaca buku atau kertas, keadaan lebih buruk lagi dengan komputer kerana skrin menghasilkan cahaya yang berkelip, kontras dan silau.

Anda lebih cenderung untuk mendapat masalah penglihatan jika anda sememangnya sudah mempunyai masalah mata tetapi tidak memakai cermin mata atau tidak memakai cermin mata yang sesuai.

Penggunaan komputer akan menjadi lebih sukar seiring dengan umur kerana kanta mata akan menjadi kurang fleksibel apabila umur semakin meningkat. Apabila mencecah umur 40-an, keupayaan mata untuk memfokus objek jauh dan dekat akan mula berkurangan. Keadaan ini dinamakan  presbyopia.

APAKAH GEJALANYA?

Penggunaan komputer dalam tempoh berpanjangan dan berterusan boleh menyebabkan ketegangan dan ketidakselesaan mata.

Gejala lain:

  • Kabur penglihatan
  • Penglihatan berganda
  • Mata kering, merah
  • Kerengsaan mata
  • Sakit kepala
  • Sakit leher atau belakang

Sekiranya anda tidak berbuat apa-apa mengenainya, ia boleh menjejaskan lebih daripada mata anda. Prestasi kerja anda juga mungkin akan terganggu.

 

CARA MENJAGA KESIHATAN MATA APABILA MENGGUNAKAN KOMPUTER

Beberapa perubahan mudah pada ruang kerja boleh membantu mencegah atau memperbaiki gejala:

Elakkan silau. Sesuaikan pencahayaan di ruang kerja anda bagi mengurangkan kesan silau di skrin komputer. Sekiranya cahaya dari tingkap berdekatan menghasilkan silau, ubah kedudukan skrin komputer. Anda juga boleh menambah penapis silau pada monitor anda.

Susun semula kedudukan meja. Kedudukan terbaik monitor adalah sedikit ke bawah dari paras mata, kira-kira 20 hingga 28 inci jarak di antara skrin dengan muka anda (Gambar 1). Anda tidak perlu meregangkan leher atau memejamkan mata untuk melihat apa yang ada di skrin. Letakkan bahan yang ingin ditaip di sebelah skrin monitor agar leher dan mata anda tidak perlu bergerak ke atas dan ke bawah untuk membaca bagi mengelakkan otot leher dan otot mata tegang dan sakit.

Beri mata anda berehat. Ikuti peraturan 20-20-20. Lihatlah dari skrin setiap 20 minit atau lebih dan lihat sesuatu sekitar 20 kaki jauhnya selama kira-kira 20 saat. Sekiranya mata terasa kering atau pedih, titiskan pelembap mata bagi mengurangkan kekeringan di mata.

Paparan skrin monitor mengikut keselesaan. Laraskan kecerahan, kontras, dan saiz fon di skrin monitor sehingga anda mendapati yang terbaik dan selesa dengan penglihatan anda.

Lawati doktor mata dengan kerap untuk memantau kesihatan mata anda. Maklumkan kepada doktor sekiranya anda menghidapi apa-apa masalah berkaitan mata. Anda mungkin memerlukan cermin mata atau kanta lekap. Doktor mungkin akan menentukan samada anda memerlukan lensa tunggal atau bifokal, atau kanta berwarna untuk meningkatkan kontras bagi mengelakkan silau.

 

 

Gambar 1: Posisi penggunaan komputer yang betul

 

Rujukan

American Optometric Association (AOA). (1995). The effects of computer use on eye health and vision. Retrieved August 2, 2006. http://www.aoa.org

Loh, K.Y. & Reddy, S.C., (2008). Understanding and preventing computer vision syndrome. Malaysian Family Physician, 3(3):128-130.

Zainuddin H., Isa M. M. (2014). Effect of Human and Technology Interaction: Computer Vision Syndrome among Administrative Staff in a Public University. International Journal of Business, Humanities and Technology, 4(3): 39-44.

 

Disediakan oleh:

Dr Arma Noor
Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan
Pusat Kesihatan Universiti
Universiti Putra Malaysia
2019

Tarikh Input: 30/11/2019 | Kemaskini: 30/11/2019 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEXQAt~