
Hari Kesihatan Sedunia disambut setiap tahun pada 7 April sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan terhadap isu-isu kesihatan sejagat. Pada tahun 2025, tema yang dipilih ialah "Permulaan Sihat, Masa Depan Cerah" (Healthy Beginnings, Hopeful Futures), yang menumpukan perhatian terhadap penjagaan kesihatan ibu dan anak sebagai asas penting kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan sesebuah negara.
Tema ini mencerminkan komitmen antarabangsa dalam usaha mengurangkan kematian ibu dan bayi yang boleh dicegah semasa kehamilan dan kelahiran. Selain itu, ia juga memperkukuh perhatian terhadap aspek kesihatan jangka panjang serta kesejahteraan wanita di seluruh dunia.
Statistik menunjukkan bahawa setiap tahun, dianggarkan hampir 300,000 wanita meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan kehamilan atau kelahiran, manakala lebih 2 juta bayi meninggal dunia dalam bulan pertam kehidupan mereka dan sekitar 2 juta lagi bayi dilahirkan mati. Angka ini bersamaan dengan kira-kira satu kematian setiap tujuh saat dan kebanyakannya boleh dicegah.
Sempena sambutan ini, marilah kita semua berganding bahu dalam meningkatkan kesedaran serta mengambil tindakan proaktif, termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dan menjaga kesihatan mental serta fizikal secara berterusan. Usaha kolektif ini amat penting bagi memastikan setiap permulaan kehidupan dimulakan dengan sihat demi masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
Artikel berkaitan Hari Kesihatan Sedunia 2025:
1.https://malaysiagazette.com/2025/04/02/hari-kesihatan-sedunia-2025-fokus-penjagaan-ibu-dan-anak/
Disediakan oleh Bahagian Kesihatan Awam, PKU
Date of Input: 10/04/2025 | Updated: 10/04/2025 | nursyamimi

Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan.