Pengenalan
Sakit lutut merupakan salah satu masalah muskuloskeletal yang sering dialami oleh pelajar dan staf di Universiti Putra Malaysia (UPM). Masalah ini boleh menjejaskan aktiviti harian, prestasi akademik, serta produktiviti kerja. Faktor penyebab masalah ini merangkumi gaya hidup, aktiviti fizikal, kecederaan sukan, atau kondisi perubatan tertentu seperti osteoartritis atau patellar tendinopathy.
Punca Sakit Lutut:
- Aktiviti Fizikal Berlebihan
- Pelajar yang aktif dalam sukan atau senaman tanpa pemanasan yang betul lebih berisiko mengalami kecederaan lutut.
- Staf yang berdiri atau berjalan lebih lama juga boleh mengalami tekanan berulang pada lutut.
- Kecederaan
- Kecederaan ligamen,meniskus, atau tulang rawan yang sering berlaku semasa aktiviti sukan atau kemalangan.
- Sejarah pembedahan lutut yang pernah dilakukan juga boleh meninggalkan kesan jangka panjang jika pemulihan tidak optimum.
- Gaya Hidup Tidak Aktif
- Kurang aktiviti fizikal menyebabkan otot sekitar lutut menjadi lemah, meningkatkan risiko sakit lutut.
- Berat badan berlebihan memberi tekanan tambahan pada sendi lutut.
- Faktor Umur dan Kesihatan
- Sakit lutut dalam kalangan pelajar boleh berpunca daripada kondisi seperti radang sendi (artritis) atau masalah tulang rawan, namun insidennya jarang berlaku.
- Staf yang lebih berusia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit osteoartritis lutut.
Tanda dan Gejala
- Sakit atau ketidakselesaan semasa berdiri, berjalan, atau menaiki tangga.
- Bengkak atau kekejangan pada lutut.
- Bunyi “klik” atau “pop” semasa pergerakan.
- Kelemahan atau rasa lutut “longgar”.
Langkah Pencegahan dan Pengurusan
- Senaman dan Pengukuhan Otot
- Fokus pada latihan penguatan quadriceps, hamstring, dan otot pinggul.
- Senaman ringan seperti berjalan, berenang, atau berbasikal dapat mengurangkan risiko kecederaan.
- Di bawah adalah contoh-contoh senaman yang boleh dilakukan untuk masalah lutut:

- Pemanasan dan Peregangan
- Lakukan pemanasan 5–10 minit sebelum aktiviti fizikal.
- Peregangan otot sebelum dan selepas latihan membantu mengurangkan ketegangan pada lutut.
- Pemakaian Kasut yang Sesuai
- Kasut yang menyokong lengkungan kaki dan peredaran hentakan yang baik boleh mengurangkan tekanan pada lutut.
- Pengurusan Berat Badan
- Mengekalkan berat badan yang ideal boleh mengurangkan beban pada sendi lutut.
- Rawatan Perubatan
- Jika sakit lutut berterusan atau semakin teruk, rawatan fisioterapi boleh dilakukan atau mendapatkan rawatan awal di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPM untuk pemeriksaan lanjutan.
- Rawatan boleh merangkumi fisioterapi, ubat anti-radang, atau program pemulihan khusus.
Kesimpulannya:
Sakit lutut adalah isu kesihatan yang boleh menjejaskan kualiti hidup pelajar dan staf UPM. Pencegahan melalui gaya hidup sihat, senaman berkala, dan penjagaan lutut yang betul adalah langkah terbaik untuk mengurangkan risiko. Sekiranya mengalami sakit lutut yang berlarutan, mendapatkan rawatan awal dapat mencegah komplikasi lebih serius.
Maklumat Lanjut
Pelajar dan staf boleh mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Kesihatan Universiti(PKU) UPM dan berjumpa dengan doktor dan fisioterapis yang berdaftar.
Rujukan:
Ibeachu, C., Selfe, J., Sutton, C. J., & Dey, P. (2019). Knee problems are common in young adults and associated with physical activity and not obesity: the findings of a cross-sectional survey in a university cohort. BMC musculoskeletal disorders, 20(1), 116. https://doi.org/10.1186/s12891-019-2487-2
Zainudin, F. F., Abdullah, S. N. F., Abadi, F. H., & Sankaravel, M. (2024). Prevalence of Musculoskeletal Pain and Level of Postural Awareness Among Varsity Students. Malaysian Journal of Sport Science and Recreation, 20(1), 1–11. Retrieved from https://journal.uitm.edu.my/ojs/index.php/MJSSR/article/view/1091
Yi Ling, L., & Hui, O. J. (2023). Prevalence of musculoskeletal pain and its association with computer workstation ergonomics among undergraduates in Malaysia. International Journal of Technology and Management.
Disediakan oleh:
MUHAMAD NAZARI BIN ISMAIL
BAHAGIAN PERUBATAN SUKAN, PKU
28 November 2025
Date of Input: 04/12/2025 | Updated: 04/12/2025 | nurafifah
MEDIA SHARING