KESIHATAN MENTAL DAN STRES DI TEMPAT KERJA | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » KESIHATAN MENTAL DAN STRES DI TEMPAT KERJA

KESIHATAN MENTAL DAN STRES DI TEMPAT KERJA

Kesihatan mental adalah merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial kita. Ia mempengaruhi bagaimana kita berfikir, merasa dan bertindak. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat, dan mampu memberi sumbangan kepada komuniti.Kesihatan mental adalah penting pada setiap peringkat kehidupan kita, dari zaman kanak-kanak dan remaja hingga dewasa. Iaadalah asas pemikiran, pembelajaran, komunikasi, daya tahan dan keyakinan diri.

Penyakit Mental, juga dikenali sebagai Kecelaruan Mental, boleh menjejaskan sesiapa sahaja. Penyakit mental adalah keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku yang sering menyebabkan kesukaran untuk menampung tekanan biasa dan rutin kehidupan. Seseorang boleh mengalami kesihatan mental yang lemah tanpa didiagnosis dengan penyakit mental. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi 2015 menunjukkan 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas (29.2 peratus) bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Di mana-mana sahaja seseorang itu berada, setiap invidu adalah pekerja, samada sebagai surirumah,
bekerja sendiri, makan gaji atau sebagai majikan. Oleh sebab itu setiap individu tidak dapat lari daripada tekanan kerja, sama ada ianya ringan, sederhana atau berat.

Pandemik Covid-19, menambahkan lagi impak psikologi kepada individu yang bekerja, sama ada daripada pihak pekerja itu sendiri atau majikan. Beban kerja dan kesukaran bekerja menjadi faktor utama penyebab stres atau tekanan dan jika tidak dikawal ianya akan menjejaskan kesihatan mental sehingga berlakunya gejala kemurungan, kerisauan dan stres.

Stres atau tekanan boleh datang dari dalam diri individu sendiri; ianya dipanggil faktor dalaman yang seringkali dipengaruhi oleh perwatakan individu tersebut. Pewatakan atau personaliti individu yang boleh menyebabkan senang mendapat stres atau tekanan adalah seperti personaliti jenis A yang sentiasa ingin menjadi nombor satu dalam setiap keadaan dan merasakan dirinya sentiasa terbaik, rasa diri betul dan iri hati sekiranya tidak tercapai apa yang dihajati. Situasi lain adalah seperti sedang meghadapi masalah kesihatan atau menjalani prosedur perubatan, kelemahan berkomunikasi, dan sentiasa berfikiran negatif. Manakala faktor luaran adalah daripada persekitaran, keadaan di tempat kerja, hubungan sosial, kewangan atau kejadian yang traumatik.

Apakah yang patut kita lakukan untuk menangani stres di tempat kerja?

Setiap orang mempunyai persepsi dan reaksi yang berbeza terhadap tekanan kerja. Tidak ada satu tahap tekanan yang optimum dan menghasilkan reaksi yang sama untuk semua orang. Sesuatu peristiwa boleh menjadikan seseorang itu merasa terancam atau terangsang, memberi galakan atau
menyebabkan penolakan, gembira atau sedih, bergantung kepada sejauh mana seseorang itu sendiri memahami dan menerima situasi stress. Sebagai seorang pekerja, tanggungjawab utama untuk membendung gejala tekanan adalah dengan mengenali sumber tekanan negatif , sama ada stressor atau tekanan tersebut berpunca dari dalaman atau luaran. Tindakan seterusnya adalah merancang
langkah-langkah untuk mengatasinya yang dipanggil strategi pengurusan stress.

Strategi Pengurusan Tekanan:
1) Mengubah cara pemikiran iaitu dengan mengubah cara melihat sesuatu dengan lebih baik
iaitu dengan adanya pemikiran positif. Fokus pada kekuatan anda, mencari peluang untuk berjaya dan berubah dengan cara yang lebih positif.

2) Mengubah tingkah laku dengan bersikap tegas pada keadaan yang memerlukan. Lakukan pekerjaan dengan teratur dengan mengikut keutamaan dalam jadual hidup anda. Alihkan gangguan stres dengan luangkan masa untuk diri sendiri, bertenang dan berfikir secara logik.

3) Mengubah gaya hidup iaitu dengan mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok atau minum alkohol, melakukan senaman secara berkala, corak tidur yang sihat dan bersantai.

Oleh itu jika stress atau tekanan tidak ditangani dengan baik, ia akan menyebabkan gejala-gejala yang tidak sihat, seterusnya menjejaskan produktiviti individu dan organisasi. Pengurusan stres adalah tanggungjawab setiap individu pekerja dan pihak majikan juga dapat memainkan peranan
untuk membantu mengurangkan atau membendung situasi stres di tempat kerja.

Rujukan:
1)https://www.mmgazette.com/stres-di-tempat-kerja-bahagian-1
2)https://www.myhealthmylife.com.my/sites/default/files/2020-
09/Mental_Health_Booklet%28MLY%29.pdf

Disediakan oleh:
Dr Siti Noor Azlidah Bt Ali
PERKHIDMATAN KESIHATAN PEKERJAAN PKU.
Date: 27/April/2022

Tarikh Input: 12/05/2022 | Kemaskini: 12/05/2022 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXESLAb~