Larangan Merokok 2019 | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Larangan Merokok 2019

Larangan Merokok 2019

Bermula 1 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran & premis makanan seluruh Malaysia, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan. Larangan merokok ini juga melibatkan rokok elektronik (vape) dan shisha yang mengandungi nikotin.

 

Fasa penguatkuasaan pendidikan akan dijalankan selama 6 bulan (Januari-Jun 2019) dengan hanya mengeluarkan notis amaran dan tiada saman atau denda akan dikeluarkan. Namun selepas tamat tempoh berikut KKM akan memulakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di premis makan. Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

 

Mereka yang didapati merokok di tempat yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau 2 tahun penjara. Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

 

Penguatkuasaan ini bukan sahaja menggalakkan perokok untuk meninggalkan tabiat merokok malah, melindungi orang sekeliling yang terdedah kepada asap rokok terutamanya ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak.  Hal ini sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok.

 

Pusat Kesihatan Universiti UPM menyokong penuh usaha KKM demi memastikan rakyat Malaysia terutamanya warga kampus dapat terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

Tarikh Input: 08/01/2019 | Kemaskini: 09/01/2019 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXDcWAX~