Serdang, 19 Jun 2025 – Seksyen Kesihatan Awam, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan sebuah seminar kesedaran bertajuk "Smoke Out, Life In: Towards a Vape & Cigarette-Free Future" yang mengangkat isu bahaya rokok dan rokok elektronik (vape) dalam kalangan masyarakat, khususnya warga universiti.
Seminar ini menghimpunkan panel-panel pakar iaitu Dr. Farahana Binti Mohamad Pilus, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kawalan Tembakau dan FCTC, Seksyen Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia. Dr. Syafikah Diana Binti Iskandar, Pegawai Perubatan merangkap Pengerusi Program Klinik MQuit Pusat Kesihatan UPM dan En. Jeffry Sani bin Sahimi, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, bagi membincangkan pelbagai aspek berkaitan bahaya merokok serta pendekatan berkesan untuk berhenti merokok.
Menurut penganjur, program ini diadakan sebagai respons kepada peningkatan penggunaan rokok elektronik, terutamanya dalam kalangan belia, yang mempercayai bahawa vape adalah alternatif lebih selamat berbanding rokok tradisional. “Rokok membunuh secara perlahan, tetapi rokok elektronik membunuh dalam diam,” tegas salah seorang panel dalam sesi pembentangan.
Antara topik utama yang dibentangkan termasuk:
- “Epidemiologi dan Bahaya Merokok” oleh Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- “Penguatkuasaan Larangan Merokok dan Notifikasi EVALI” oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
- “Pelan Berhenti Merokok” oleh mQuit PKU UPM
Ketagihan nikotin, kurangnya komitmen serta kekurangan sokongan sosial dikenal pasti sebagai faktor utama yang menggagalkan usaha untuk berhenti merokok.
Justeru, seminar ini bukan sahaja memberi pendedahan ilmiah, malah menawarkan bimbingan dan sokongan kepada mereka yang ingin meninggalkan tabiat merokok. Program ini turut terbuka kepada seluruh warga UPM dan pelajar, dengan harapan dapat membentuk persekitaran kampus yang lebih sihat dan bebas daripada bahaya asap rokok serta wap elektronik. Dengan pendekatan holistik dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, seminar ini diharapkan dapat menjadi pemangkin ke arah masa depan yang lebih bersih, sihat, dan bebas rokok untuk semua.
Date of Input: 17/12/2025 |
Updated: 19/12/2025 | nurafifah
MEDIA SHARING