PKU SANTUNI MURID SK KUALA POMSON MELALUI PROGRAM CELIK PENGGUNA : KOMUNITI BERINFORMASI | UNIVERSITY HEALTH CENTRE 127
» NEWS » PKU SANTUNI MURID SK KUALA POMSON MELALUI PROGRAM CELIK PENGGUNA : KOMUNITI BERINFORMASI

PKU SANTUNI MURID SK KUALA POMSON MELALUI PROGRAM CELIK PENGGUNA : KOMUNITI BERINFORMASI

Hulu Langat, Selangor, 24 Januari – Dr. Aditya Adawiah Darwis, Ketua Bahagian Kesihatan Awam (BKA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPM telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam seminar pendidikan kesihatan sempena Program Celik Pengguna: Komuniti Berinformasi yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kuala Pomson, Kampung Lepok, Hulu Langat.

 

Program ini dianjurkan oleh pelajar kursus PSP 4205 Audit Sosial dan Kesejahteraan Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan serta kesedaran murid terhadap amalan kesihatan dalam kehidupan seharian. Ia telah disertai oleh seramai 120 orang murid SK Kuala Pomson yang berumur 7 hingga 12 tahun.

Dalam sesi tersebut, Dr. Aditya Adawiah Darwis telah berkongsi maklumat mengenai pemakanan sihat, kepentingan kebersihan diri serta teknik mencuci tangan yang betul. Menurut beliau, “Amalan kesihatan yang baik perlu dipupuk sejak usia muda kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan sepanjang hayat. Tabiat kecil seperti mencuci tangan dengan betul dan memilih makanan yang sihat mampu memberi kesan besar terhadap kesihatan diri.”

Beliau turut menekankan bahawa pendidikan kesihatan bukan sekadar penyampaian maklumat, tetapi perlu disertai dengan amalan harian. “Anak-anak bukan sahaja perlu tahu, tetapi perlu faham dan mempraktikkan apa yang dipelajari agar ia menjadi budaya dalam kehidupan seharian,” tambah beliau.

 

   

Melalui pendekatan yang interaktif dan menarik, sesi ini berjaya menarik minat murid serta membantu mereka memahami dan mengamalkan amalan kebersihan serta pemakanan sihat secara praktikal.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Kesihatan Universiti UPM dalam memperluas pendidikan kesihatan kepada komuniti, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah, selaras dengan usaha memupuk gaya hidup sihat sejak usia awal.

Date of Input: 12/02/2026 | Updated: 04/03/2026 | nursyamimi

MEDIA SHARING

UNIVERSITY HEALTH CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 5020
.
X, (04:08:28am-04:13:28am, 12 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]