UPM, ANSARA DAN PDN BERGANDING BAHU KUMPUL 186 BEG DARAH | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» BERITA » UPM, ANSARA DAN PDN BERGANDING BAHU KUMPUL 186 BEG DARAH

UPM, ANSARA DAN PDN BERGANDING BAHU KUMPUL 186 BEG DARAH

 

Serdang, 15 Januari 2026 — Kempen derma darah anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU) Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Pendeta Za’ba UPM, Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang UPM, Pusat Darah Negara serta Sukarelawan Siswa UPM pada 14 dan 15 Januari 2026.

 
      

Kempen ini dianjurkan bagi membantu Pusat Darah Negara mengekalkan bekalan darah, khususnya menjelang bulan Ramadan apabila kadar pendermaan darah lazimnya menurun disebabkan kekangan masa dan keadaan fizikal penderma.

Selain aktiviti pendermaan darah, pelbagai pengisian bermanfaat turut diadakan termasuk saringan kesihatan, pameran kesihatan yang memfokuskan isu demam denggi, kesihatan mental dan kesihatan reproduktif dan reruai farmasi daripada Hospital Serdang. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kesihatan dalam kalangan warga kampus.

  

Kempen ini turut dimeriahkan dengan aktiviti kuiz kesihatan dan cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

Secara keseluruhan, seramai 249 individu hadir untuk menyertai kempen ini dan sebanyak 186 beg darah berjaya dikumpulkan. Namun begitu, sebahagian peserta tidak dapat menderma darah disebabkan faktor kesihatan seperti kurang tidur dan paras hemoglobin yang rendah.

Para penderma dan bakal penderma dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat serta memastikan rehat dan pemakanan mencukupi supaya dapat terus menyumbang dalam kempen derma darah pada masa akan datang.

Tarikh Input: 27/01/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | nursyamimi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 5020
.
X, (07:53:44pm-07:58:44pm, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]