
Serdang, 23 September 2024 – Bahagian Kesihatan Pergigian, Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan penanda arasan daripada Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Delegasi terdiri daripada tujuh staf yang diketuai oleh Ketua Unit Pergigian PKU UKM, Dr. Hamiza Hamidon.
Rombongan disambut mesra oleh Ketua Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM, Dr. Ahmad Kamarul Juperi, bersama Juruterapi Pergigian Nalitha Hazirah Norman dan DSA Mohd Rosli.
Lawatan ini bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai rawatan pergigian, kadar caj, serta sistem pengurusan pesakit yang diamalkan di Pusat Kesihatan UPM. Selain itu, kunjungan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara staf kesihatan universiti awam.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Dr. Ahmad Kamarul mengenai pengurusan pesakit di Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM, diikuti sesi pembentangan dan soal jawab. Delegasi UKM kemudian dibawa melawat fasiliti seperti bilik rawatan pergigian, unit sterilisasi (SSU), stor bekalan pergigian, dan bilik x-ray.
Lawatan berakhir pada pukul 1 petang dengan penyampaian cenderahati oleh PKU UPM kepada PKU UKM sebagai tanda penghargaan atas kunjungan.
Pertemuan ini berjaya menghasilkan perkongsian maklumat yang bermanfaat dan diharap dapat memberikan impak positif kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan pergigian serta mengukuhkan kerjasama antara pusat kesihatan universiti awam.


Tarikh Input: 04/12/2024 | Kemaskini: 05/12/2024 | izzatussofia

Universiti Putra Malaysia.
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA..453