
Serdang, 12 Jun 2025 – Pusat Kesihatan Universiti (PKU), UPM baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Basic Life Support (BLS) pada 11 hingga 12 Jun 2025 bertempat di Bilik Clinical Simulation Lab, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Kursus ini berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang melibatkan dua sesi dengan kumpulan peserta yang berbeza.
Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk meningkatkan kecekapan staf dalam melaksanakan tugas bantuan awal semasa kecemasan, khususnya ketika menjalankan aktiviti standby.
Seramai 18 orang staf PKU yang terdiri daripada pegawai perubatan, ketua jururawat, jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan dan pembantu khidmat am telah menyertai sesi pertama. Manakala bagi sesi kedua, seramai 19 orang staf yang merangkumi pegawai perubatan, penyelia jururawat, ketua jururawat, jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan dan pembantu khidmat am telah mengambil bahagian.

Sepanjang kursus, para peserta telah diberi bimbingan oleh sembilan orang penceramah daripada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Mereka telah berkongsi kepakaran serta kemahiran praktikal mengenai langkah-langkah penting dalam menyelamatkan nyawa, khususnya dalam situasi kecemasan yang memerlukan bantuan pernafasan.
Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran staf PKU dalam mengendalikan kes kecemasan perubatan, seterusnya memperkukuh tahap kesiapsiagaan serta mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada warga kampus.
Tarikh Input: 28/08/2025 | Kemaskini: 08/09/2025 | mk.anwar

Universiti Putra Malaysia.
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA..453