Khalifah Model School Jadi Tumpuan Program 4K, 135 Murid Didedah Amalan Hidup Sihat | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» BERITA » Khalifah Model School Jadi Tumpuan Program 4K, 135 Murid Didedah Amalan Hidup Sihat

Khalifah Model School Jadi Tumpuan Program 4K, 135 Murid Didedah Amalan Hidup Sihat

Disediakan oleh Dr Syahirah
Disunting oleh Opie Bamad

AMPANG, 18 Disember 2025 – Usaha memupuk kesedaran kesihatan sejak usia muda terus diperkasa apabila Bahagian Kesihatan Pergigian, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyahut jemputan Jabatan Pediatrik Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM bagi menyertai Program Kesedaran Kesihatan Kanak-Kanak 4K yang berlangsung di Khalifah Model School, Ampang.

Program berimpak tinggi ini dianjurkan bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan seimbang, kebersihan diri serta pencegahan penyakit berjangkit, selaras dengan usaha membentuk generasi sihat dan berpengetahuan.

Seramai kira-kira 135 orang pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 telah mengambil bahagian dalam program yang bermula seawal 9.00 pagi. Program dimulakan dengan ceramah gaya hidup dan pemakanan sihat, sebelum para pelajar dibahagikan kepada tujuh kumpulan kecil bagi mengikuti aktiviti secara berperingkat di stesen-stesen yang disediakan.

Antara stesen yang mendapat perhatian ialah pemeriksaan kesihatan, demonstrasi penjagaan gigi, basic life support (BLS), aktiviti mencuci tangan, aktiviti interaktif dan motivasi, serta pameran kerjaya kesihatan, sains dan pertanian.

 

Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM tampil mengendalikan stesen penjagaan kesihatan pergigian, dengan penglibatan lapan orang staf yang komited dalam menyampaikan ilmu secara santai dan interaktif. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan, termasuk demonstrasi cara memberus gigi yang betul, pendedahan kepada pemakanan sihat untuk gigi, serta pengenalan asas bahagian rongga mulut.

Bagi meningkatkan keterlibatan murid, setiap pelajar turut menerima cenderamata berupa alatan menulis, sekali gus menceriakan suasana pembelajaran. Sepanjang program berlangsung, para pelajar dilihat aktif, ceria dan teruja menyertai setiap aktiviti yang dirangka.

 

Menjelang waktu tengah hari, semua stesen telah berjaya melengkapkan demonstrasi masing-masing. Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja berjaya menarik minat pelajar, malah berkesan dalam menyemai kesedaran awal tentang kepentingan penjagaan kesihatan diri.
 

Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan kerjasama yang diberikan, serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Program ini juga menandakan penutup rasmi aktiviti khidmat komuniti masyarakat Bahagian Kesihatan Pergigian bagi tahun 2025.

 

Tarikh Input: 14/01/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | nursyamimi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 5020
.
W, (12:38:49am-12:43:49am, 13 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]