WASPADA FENOMENA EL NINO MENYEBABKAN KELESUAN HABA DAN STROK HABA. | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » WASPADA FENOMENA EL NINO MENYEBABKAN KELESUAN HABA DAN STROK HABA.

WASPADA FENOMENA EL NINO MENYEBABKAN KELESUAN HABA DAN STROK HABA.

WASPADA FENOMENA EL NINO MENYEBABKAN KELESUAN HABA DAN STROK HABA.


Sebagaimana yang diwar-warkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran suhu panas terik di negara ini. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan bahawa fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka akan berterusan sehingga pertengahan tahun ini dan dijangka lebih kering dan lebih panas daripada biasa.

Cuaca panas ini berlaku pada saban tahun bermula pada setiap Februari hingga Mei dan dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh mencecah 35 darjah Celcius. Individu yang melakukan aktiviti atau bekerja di persekitaran yang panas dan terdedah dengan panas matahari adalah antara yang berisiko. Contohnya seperti petani, pekerja binaan, pengawal keselamatan, altet, polis, tentera dan sebagainya. Walaubagaimanapun, golongan yang berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik perlu lebih menitikberatkan langkah-langkah pencegahan dengan lebih baik.

Terdapat beberapa implikasi kesihatan yang serius dikaitkan dengan pendedahan cuaca panas yang berpanjangan. Ini disebabkan badan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu yang mendadak, orang yang tidak biasa dengan cuaca panas berisiko lebih tinggi untuk mengalami keletihan haba atau strok haba. Strok haba merupakan suatu kondisi yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan.

 

Tanda - tanda kelesuan haba adalah:
- Suhu badan 37-40 darjah celcius
- Denyutan jantung laju
- Pening atau sakit kepala
- Loya atau muntah
- Letih dan lemah
- Berpeluh

Antara tanda strok haba pula adalah :
- Kulit terasa panas dan kering apabila disentuh, kulit memerah
- Suhu badan 40 darjah Celcius atau lebih tinggi
- Kekeliruan, pertuturan yang tidak jelas, status mental yang berubah
- Berpeluh dengan banyak
- Pernafasan yang laju
- Sakit kepala
- Loya dan muntah

Untuk mengelak berlakunya kelesuan atau strok haba, beberapa langkah pencegahan penting boleh dipraktikkan. Antaranya ialah:

a) Tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang.
b) Elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan
c) Pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong 2 liter sehari
d) Mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung.
e) Tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik
f) Memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis

Namum begitu, sekiranya terdapat tanda-tanda awal berkaitan kelesuan haba atau strok haba, anda digalakkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

 

Bahagian Kesihatan Awam,
Pusat Kesihatan Universiti,
Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 06/03/2024 | Kemaskini: 06/03/2024 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcFAY~