Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan

Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan

Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan 10 Oktober setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Pada tahun ini, tema Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah “Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan” yang memfokuskan kepada memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan mental dan mencegah tingkah laku bunuh diri.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati tingkahlaku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan tren iaitu prevalen idea bunuh diri adalah 10% pada tahun 2017 berbanding 7.9% pada tahun 2012. Kajian yang sama juga mendapati prevalen kemurungan adalah 18.3% di mana 1 daripada 5 remaja mengalami gejala kemurungan, 2 daripada 5 mengalami keresahan dan 1 daripada 10 mengalami stres.

Kebanyakan individu yang terlibat dalam cubaan bunuh diri dan kematian akibat bunuh diri mempunyai beberapa faktor risiko yang mendorong perbuatan tersebut iaitu antaranya mempunyai sejarah cubaan bunuh diri, mengalami kemurungan dan penyakit mental, penyalahgunaan alkohol dan substans, mempunyai sejarah keluarga bunuh diri, sejarah penyakit kronik dan sering kesunyian atau berasa keseorangan.

Apabila kita memperkatakan tentang kesihatan mental, ada 2 terminologi penting yang perlu kita faham terlebih dahulu:

1)Kesihatan mental bermaksud satu keadaan di mana seseorang individu itu menyedari potensinya, boleh berdaya tindak terhadap stress dalam kehidupan seharian,boleh bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa

2)Penyakit mental pula adalah sejenis penyakit yang melibatkan perubahan pada fungsi otak dan menyebabkan gagguan ketara dalam pemikitan, perasaan dan tingkah laku. Gangguan ini menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian

Masalah berkaitan kesihatan mental adalah masalah yang serius di seluruh dunia, termasuk di negara kita. Ia dibuktikan dengan statistik berikut :

1)WHO melaporkan bahawa secara purata, satu (1) kematian berlaku setiap 40 saat menjadikan hampir 800,000 orang mati setiap tahun akibat bunuh diri di seluruh dunia

2)Kajian pada tahun 2019 menunjukkan bahawa setengah juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan

3)Pada tahun 2022, MHPSS (Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial) menerima sebanyak 212 319 panggilan, berbanding hanya 44 601 panggilan pada tahun yang sebelumnya

Masalah kesihatan mental dan penyakit mental dapat memberi impak yang besar dalam kehidupan manusia sejagat, tidak kira bangsa dan negara, peringkat umur dan perbezaan jantina, menyebabkan punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia sehingga ia juga boleh mengganggu sektor pekerjaan, pembelajaran serta ekonomi.

Stigma terhadap kesihatan mental dan penyakit mental harus dihapuskan. Masyarakat harus tidak menghukum dan lebih terbuka membicarakan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan tidak menganggapnya sebagai kes-kes terpencil. Keseriusan sesetengah kes, terutama yang melibatkan kehilangan nyawa seharusnya memberi isyarat yang jelas untuk semua pihak bertindak. Marilah kita semua menjadi sebahagian daripada yang membantu mereka yang memerlukan untuk memilih kehidupan, kerana ada harapan dan bantuan yang tersedia. Bersama kita mencegah bunuh diri.


#SayangiNyawaHidupkanHarapan


Bahagian Kesihatan Awam,
Pusat Kesihatan Universiti,
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 23/10/2023 | Kemaskini: 23/10/2023 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcHAj~