MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM I-CHANGE FAKULTI KEJURUTERAAN | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM I-CHANGE FAKULTI KEJURUTERAAN

MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM I-CHANGE FAKULTI KEJURUTERAAN

MAJLIS PENUTUPAN I-CHANGE DI FAKULTI KEJURUTERAAN YANG DIJALANKAN 29 JANUARI 2024

"Berpegang kepada prinsip bahawa “MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI”, PKU merasa terpanggil untuk membantu dan memberi sokongan kepada warga UPM supaya kita dapat bersama-sama mengurangkan faktor risiko yang telah ada pada diri masing-masing agar kes-kes penyakit kronik dapat dikurangkan dan staf UPM sentiasa sihat, cergas dan bertenaga," kata Dr. Fauziah binti Adnan, Ketua Pusat Kesihatan Universiti, UPM semasa memberi ucapan alu-aluan di majlis Penutup program I-CHANGE di Fakulti Kejuruteraan pada 29 Januari 2024 baru-baru ini.

Tambahnya lagi, usaha meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyakit kronik amat penting kerana ia merupakan penyakit yang berpanjangan dan bersifat sepanjang hayat, memerlukan rawatan yang berterusan serta kadangkala menyebabkan komplikasi teruk sehingga boleh menganggu produktiviti kerja serta kualiti kehidupan. Walau bagaimanapun, dengan cara yang betul, ia boleh dicegah dan kita terhindar daripada belenggu kebergantungan kepada ubat.

Dengan kerjasama Kelab Sukan dan Sosial Fakulti Kejuruteraan (KSSFK), program I-CHANGE di Fakulti Kejuruteraan ini telah dijalankan dengan jayanya selama 6 bulan bermula dari Jun 2023 dan berakhir pada Disember 2023. Ia melibatkan seramai 50 orang staf Fakulti Kejuruteraan yang telah dikenalpasti sesuai dan mampu beroleh manfaat jika mengikuti program I-CHANGE.

Antara pengisian di dalam program I-CHANGE ialah pengukuran parameter badan seperti berat badan, jumlah lemak badan dan lemak viscera pada setiap bulan. Ia dilakukan serentak dengan perkongsian dan perbincangan kesihatan bersama-sama kakitangan perubatan yang juga merupakan urusetia program. Senaman Fit By Beat untuk pembakaran lemak badan serta memperbaiki aliran darah juga dilakukan setiap bulan.

Selain itu, program ini juga diisi dengan aktiviti Program Masak-Masak Sihat bersama Pegawai Sains Pemakanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Encik Soffian. Para peserta bukan sahaja berkongsi ilmu dan cara menyediakan makanan biasa, dengan cara yang lebih sihat serta mengikut kandungan nutrisi yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada urusetia program I-CHANGE dan syabas kepada staf Fakulti Kejuruteraan yang berjaya menunjukkan keinginan dan kemahuan untuk berubah kepada gaya hidup yang lebih sihat," ucap Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof.IR.Dr. Mohamad Khairul Anwar bin Mohd Arifin sebagai tanda penghargaan, sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Tiga orang peserta telah menerima hadiah kategori peserta paling komited. Seterusnya 3 orang peserta yang menunjukkan perubahan parameter terbaik menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pusat Kesihatan Universiti.

Walaupun program I-CHANGE di Fakulti Kejuruteraan telah berakhir, para peserta diharap bukan sahaja dapat meneruskan amalan hidup sihat yang telah diterapkan selama 6 bulan yang sebelumnya malah juga dapat mempengaruhi orang disekeliling untuk bersama-sama meneruskan amalan baik ini. Urusetia I-CHANGE bakal meneruskan program intervensi ini di PTJ lain dalam UPM dan berharap ia disambut dengan baik dan mendapat sokongan daripada semua pihak.

Bahagian Kesihatan Awam,
Pusat Kesihatan Universiti,
Universiti Putra Malaysia.

Lagi gambar menarik
https://pku.upm.edu.my/galeri/aktiviti%7cpku/majlis_penutupan_i_change_fakulti_kejuruteraan_upm-5463

 

Tarikh Input: 07/02/2024 | Kemaskini: 07/02/2024 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcOAi~