Ketahui 4 Cara Utama Bagaimana Bahan Kimia Di Tempat Kerja Boleh Memasuki Tubuh | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Ketahui 4 cara utama bagaimana bahan kimia di tempat kerja boleh memasuki tubuh

Ketahui 4 cara utama bagaimana bahan kimia di tempat kerja boleh memasuki tubuh

Ketahui 4 cara utama bagaimana bahan kimia di tempat kerja boleh  memasuki tubuh

Bagaimanakah bahan kimia boleh memasuki ke dalam tubuh saya?

Sebelum bahan kimia boleh membahayakan kesihatan seseorang, ia mesti terlebih dahulu bersentuhan atau memasuki tubuh dan memberikan kesan biologi terhadap tubuh manusia. Terdapat empat laluan utama di mana bahan kimia boleh memasuki tubuh manusia iaitu:

  • Inhalasi (Pernafasan)
  • Sentuhan kulit atau mata
  • Menelan (ingesi atau memakan)
  • Suntikan

Lazimnya, udara yang tercemar dengan bahan kimia di tempat kerja boleh memasuki tubuh melalui lalauan pernafasan.  Apabila bahan kimia terpercik atau tertumpah dan tersentuh pada permukaan kulit, bahan kimia tersebut akan diserap dan memasuki tubuh melalui peredaran darah. Bahan kimia juga boleh memasuki badan melalui mata, namun kebiasaannya, hanya dengan kuantiti yang sangat kecil. Bahan kimia di tempat kerja mungkin secara tidak sengaja memasuki badan secara menelan melalui makanan atau semasa merokok akibat sentuhan daripada tangan yang tercemar dengan bahan kimia. Atas sebab ini, pekerja tidak boleh minum, makan, atau merokok di kawasan kerja yang terdedah kepada bahan kimia.

Suntikan adalah cara keempat bahan kimia boleh memasuki tubuh manusia. Walaupun ianya jarang berlaku, namun ia boleh terjadi apabila objek tajam (misalnya jarum) tertusuk di kulit dan menyuntik bahan kimia terus ke dalam aliran darah.

Apabila bahan kimia telah memasuki tubuh, ia akan beredar ke seluruh tubuh melalui aliran darah. Dengan cara ini, bahan kimia boleh membahayakan organ-organ walaupun ianya berada jauh dari punca kemasukan.

 

Apakah yang berlaku kepada udara yang tercemar apabila saya menarik nafas?

Udara tercemar di tempat kerja boleh disedut masuk melalui mulut dan hidung, dan kemudian ke paru-paru. Purata kadar pernafasan  seseorang adalah 12 kali seminit. Setiap pernafasan akan membawa masuk kira-kira 500 mL udara, bersamaan dengan 6 liter udara seminit, yang membawa masuk bersama-sama bahan cemar yang terkandung di dalam udara.

Individu yang terlibat dengan aktiviti fizikal yang berat akan bernafas lebih kuat dan mengambil lebih daripada 6 liter seminit. Sekiranya bekerja lebih 8 jam sehari, maka lebih daripada 2,800 liter udara akan disedut masuk dan keluar dari paru-paru. Bagi aktiviti kerja fizikal yang sangat berat, udara yang disedut masuk dan keluar boleh mencapai sehingga 10,000 liter. Udara yang disedut melalui hidung akan ditapis oleh bulu hidung agar zarah besar dan pepejal di atmosfera dihalang daripada memasuki lebih jauh ke dalam salur pernafasan. Di dalam hidung terdapat tulang-tulang kecil dan rawan yang menyebabkan udara yang disedut berputar. Udara berpusar ini boleh menyebabkan beberapa zarah pencemar yang besar termendap di dalam hidung dan diperangkap oleh kelembapan lapisan mukus.

Udara yang masuk melalui laluan hidung dan mulut akan sampai ke bahagian belakang tekak dan memasuki kawasan yang dikenali sebagai farinks. Farinks merupakan pintu masuk ke saluran pernafasan. Saluran seterusnya akan terbahagi kepada dua tiub iaitu satu dipanggil esofagus, yang membawa makanan ke perut, dan satu lagi dipanggil trakea, yang menuju ke bawah ke arah paru-paru. Trakea akan membahagi kepada dua tiub besar, masing-masing dipanggil bronkus. Setiap bronkus akan memasuki paru-paru dan mula bercabang kepada tiub-tiub yang semakin halus dan kecil yang dinamakan bronkiol. Bronkiol akan berakhir dengan kantung udara berdinding nipis yang dipanggil alveolus. Secara kolektif, ia dipanggil alveoli dan terdapat beribu-ribu alveoli dalam setiap paru-paru. Dinding alveoli adalah sangat nipis dan ia mengandungi banyak saluran darah kecil (kapilari).

 

Oksigen bersama-sama wap kimia, gas, dan kabus bahan cemar yang disedut melalui pernafasan akan melintasi dinding alveolar dan memasuki kalipari darah, dan beredar ke seluruh badan.

Zarah pepejal yang tidak boleh melintas melalui dinding nipis alveolar akan bersarang dan kekal di tempatnya. Sesetengahnya mungkin larut, dan yang lain mungkin dimusnahkan oleh sistem pertahanan badan. Ini boleh menyebabkan parut, yang akhirnya mengganggu keupayaan paru-paru untuk menghantar oksigen ke dalam aliran darah.

Sesetengah asid, bes atau bahan kimia organik, apabila dihidu dalam jumlah yang banyak, boleh menyebabkan kerosakan "terbakar" pada mulut, hidung, trakea, bronkus dan paru-paru yang serius dan tidak boleh diperbaiki

 

 

Bagaimanakah bahan kimia boleh tersedut?

Gas dan Wap

Bahan kimia di tempat kerja boleh memasuki udara melalui beberapa cara yang berbeza. Penyejatan mudah mungkin merupakan cara yang paling biasa. Pelarut organik, seperti toluena, metil etil keton (MEK), atau alkohol, umumnya meruap lebih cepat daripada air, asid atau bes. Penyejatan akan menghasilkan wap. Wap terbentuk daripada produk yang wujud sebagai pepejal atau cecair di bawah suhu dan tekanan yang normal. Produk yang tidak wujud sebagai pepejal atau cecair pada suhu dan tekanan normal dipanggil gas. Gas dan juga wap boleh mencemari udara tempat kerja.

Kabus

Dalam sesetengah keadaan, proses perindustrian mungkin menghasilkan titisan cecair kecil yang boleh terapung di udara. Titisan ini dipanggil kabus. Kabus terbentuk oleh gas yang meruap menjadi titisan cecair kecil di udara. Sebagai alternatif, kabus boleh terbentuk dengan memecahkan, memercikkan atau mengabuskan cecair. Contohnya, kabus asid terhasil daripada penyaduran elektrik, kabus minyak daripada aktiviti pemotongan dan pengisaran minyak, atau kabus semburan cat daripada operasi mengecat.

Habuk, wasap dan asap

Terdapat proses kerja yang boleh menghasilkan zarah partikel kecil yang cukup ringan dan terapung di udara. Partikel ini dirujuk sebagai habuk, wasap dan asap. Habuk ialah partikel pepejal yang sering dihasilkan daripada aktiviti mekanikal. Kebiasaannya partikel ini cukup berat dan akan mengendap perlahan-lahan ke tanah. Wasap ialah partikel pepejal yang sangat kecil yang boleh terapung di udara. Ia terbentuk apabila logam yang dipanaskan meruap di udara dan kemudian tersejat kembali kepada bentuk pepejal. Asap boleh terhasil daripada operasi kimpalan. Asap adalah karbon atau jelaga yang terhasil daripada pembakaran. Partikel asap boleh mengendap atau kekal di udara bergantung pada saiznya.

Bagaimanakah bahan kimia boleh memasuki tubuh melalui kulit?

Lazimnya, bahan kimia yang meresap melalui kulit adalah dalam bentuk cecair. Bahan kimia pepejal dan gas atau wap biasanya tidak melalui kulit melainkan ia mula-mula bercampur dengan kelembapan di permukaan kulit.

Kulit merupakan laluan kedua yang biasa dimasuki oleh bahan kimia di tempat kerja. Kulit pada asasnya terdiri daripada dua lapisan, iaitu lapisan nipis paling luar dipanggil epidermis dan lapisan bawah yang lebih tebal dipanggil dermis. Epidermis terdiri daripada beberapa lapisan sel yang rata dan padat yang membentuk penghalang terhadap jangkitan, air dan beberapa bahan kimia. Lapisan penghalang yang terdapat di epidermis ini dinamakan lapisan keratin. Keratin bertanggungjawab untuk menghalang air dari memasuki tubuh. Ia juga boleh menahan asid lemah tetapi kurang berkesan terhadap bahan kimia organik dan bukan organik. Lapisan keratin mengandungi sel lemak dan ia mudah menyerap bahan kimia jenis larut lemak, minyak dan gris.

Bahan kimia organik dan alkali boleh melembutkan sel keratin dan  menembusi lapisan epidermis dan menyerap sehingga ke lapisan dermis, dan kemudiannya memasuki aliran darah. Bahagian badan seperti lengan bawah, terutama di bahagian berbulu seperti ketiak, paling mudah ditembusi oleh bahan kimia kerana ia boleh memasuki saluran kecil melalui rongga folikel rambut. Bahan kimia juga boleh masuk ke dalam tubuh apabila terdapat rekahan pada permukaan keratin, contoh seperti luka, tusukan atau calar pada kulit. Bahan kimia yang terkandung di dalam detergen atau pelarut organik boleh menyebabkan kulit kering dan merekah. Semua keadaan ini akan melemahkan lapisan pelindung kulit dan membenarkan bahan kimia memasuki badan.

Bahan kimia mempunyai tahap penembusan kulit yang berbeza. Sesetengah pelarut boleh melembutkan lapisan keratin tetapi tidak dapat menembusi lebih jauh melainkan terdapat sentuhan kulit yang berpanjangan. Terdapat sesetengah bahan kimia yang lain pula dengan mudah boleh melalui epidermis dan seterusnya memasuki aliran darah. Terdapat juga bahan kimia yang sangat menghakis sehingga boleh merosakkan pori-pori kulit, membenarkan kemasukan jangkitan atau bahan kimia lain.

Dalam sesetengah keadaan, bahan kimia boleh memasuki badan melalui suntikan secara tidak sengaja melalui kulit. Keadaan ini mungkin berlaku semasa melakukan prosedur di hospital atau ketika melakukan proses kerja yang melibatkan tebukan dan suntikan di industri. Apabila bahan kima telah berada di dalam aliran darah, bahan kimia ini akan beredar ke seluruh tubuh termasuk ke organ badan yang lain.

Bagaimanakah bahan kimia boleh memasuki badan saya melalui mata?

Mata dibekalkan dengan banyak saluran darah dan kebanyakan bahan kimia boleh menembusi tisu luar dan masuk ke dalam urat mata. Mata boleh rosak bergantung pada sifat menghakis bahan kimia dan keupayaannya untuk menembusi tisu mata luar.

Bagaimanakah bahan kimia boleh tertelan (termakan)?

Bahan kimia boleh memasuki perut sama ada dengan menelan lendir tercemar yang telah dikeluarkan dari paru-paru, atau dengan makan dan minum makanan yang tercemar. Makanan dan minuman paling kerap tercemar melalui sentuhan tangan, sarung tangan atau pakaian yang tidak dicuci, atau dibiarkan terdedah di tempat kerja. Menggigit kuku dan merokok juga boleh menjadi punca kemasukan bahan kimia ke dalam badan.

Bahan kimia yang telah berada di dalam mulut akan mengalir ke esofagus dan kemudian ke dalam perut. Sesetengah bahan kimia, seperti alkohol, boleh melepasi dinding perut dan memasuki saluran darah, tetapi kebanyakan bahan kimia dari perut akan memasuki usus kecil. Bahagian dalam usus kecil mempunyai ratusan unjuran kecil seperti jari yang dipanggil villi. Villi mempunyai dinding yang sangat nipis dan dipenuhi dengan saluran darah kecil. Pembentukan ini membolehkan beberapa bahan kimia yang tertelan melepasi dari usus kecil merentasi dinding vili dan memasuki saluran darah. Bahan kimia itu kemudiannya dibawa ke seluruh badan melalui aliran darah.

Sesetengah bahan kimia, yang tidak larut atau molekulnya terlalu besar yang tidak berjaya melepasi dinding vili, akan kekal di dalam usus dan keluar dari badan melalui Najis, tanpa diserap ke dalam aliran darah.

Sesetengah asid, bes dan organik boleh menyebabkan kerosakan "terbakar" teruk pada sistem pencernaan jika ditelan dalam kepekatan tinggi.

KESIMPULAN

Bahan kimia di tempat kerja amat berbahaya dan boleh menyebabkan keracunan dan penyakit seperti kanser, masalah pada paru-paru, kulit, saraf dan sebagainya. Oleh itu, patuhilah peraturan kerja dan Standard Operating Prosedur di tempat kerja masing-masing bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

 

Disediakan oleh

Dr Arma Noor
Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan
PKU UPM
4 Julai 2023

Tarikh Input: 12/07/2023 | Kemaskini: 12/07/2023 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcGAB~