Food Coma | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Food Coma

Food Coma

“Doktor.., setiap kali lepas makan je.., saya mengantuk.., makan je mengantuk.. Sampai nak buat kerja pun terganggu.. Kenapa ya..?” Mungkin ramai antara kita pernah mengalami situasi sebegini. Perkara ini bukan disebabkan penyakit, keadaan ini dipanggil sebagai postprandial somnolence atau lebih dikenali sebagai food coma.

 

APA ITU 'FOOD COMA'?

 

Kemungkinan ramai antara kita pernah mengalami situasi sebegini, setelah menjamu selera dengan sepuas hati dan entah bagaimana, tubuh anda berasa letih dan mata anda mulai kuyu sehingga akhirnya tersandar pada sofa atau dinding rumah . Perkara ini terjadi kerana anda makan berlebihan atau lebih tepat lagi, anda telah mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak pada satu masa. Keadaan ini dipanggil sebagai 'postprandial somnolence' atau lebih dikenali sebagai 'food coma' di mana tubuh anda merasai kekurangan tenaga atau keletihan setelah makan. Ianya bukanlah satu penyakit atau keadaan yang serius, tetapi sekiranya anda tidak mahu terlalu cepat berasa letih setelah menjamu selera, terdapat beberapa perkara yang anda perlu ketahui mengenai  'food coma'.

 

FAKTOR - FAKTOR FOOD COMA

 

'Food coma' boleh terjadi kepada seseorang atas beberapa faktor yang merangkumi saiz makanan yang diambil, jenis makanan dan waktu makan yang tidak sesuai. Anda lebih terdedah kepada 'food coma' sekiranya anda mengambil kuantiti makanan yang tidak disyorkan untuk metabolisma anda dan kebiasaannya terjadi semasa musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Peluang anda untuk mengalaminya akan menjadi lebih tinggi sekiranya makanan yang anda ambil merangkumi jenis karbohidrat, protein dan lemak. 

 

Ini kerana setiap satu kumpulan makanan tersebut menghasilkan pelbagai kimia kepada tubuh yang boleh menyebabkan mengantuk dan keletihan. Sebagai contoh, karbohidrat meningkatkan jumlah tryptophan dalam darah anda yang kemudian akan membuatkan lebih banyak hormon serotonin merembes dan menyebabkan anda berasa mengantuk. Tryptophan juga terkandung dalam keju, susu, ikan, telur, ayam dan tauhu; merumuskan bahawa protein juga mampu menyebabkan food coma.

 

Terdapat juga nama lain untuk 'food coma' yang dipanggil sebagai 'post-lunch dip'. Ini disebabkan keadaan seperti ini sering terjadi setelah waktu makan tengah hari. Bagi mereka yang mengambil kuantiti makanan yang banyak pada waktu tengah hari, anda lebih berpeluang untuk mengalami 'food coma' kerana pada ketika ini, tubuh kita akan mengalami kekurangan tenaga sekitar pukul 2 hingga 5 petang sebelum kembali meningkat pada sebelah petang.Tempoh untuk menghadapi 'food coma' juga tidak dapat ditentukan, tetapi ianya boleh bertahan selama empat jam bagi sesetengah individu.

 

Antara cara-cara untuk menangani food coma adalah seperti;

 

  1. Berjalan-jalan selepas makan. Tidak perlu merangkumi jarak yang jauh, cukup sekadar untuk meringankan badan.
  2. Makan dalam kuantiti yang sedikit. Pastikan ia cukup untuk memenuhi metabolisma anda.
  3. Tidur sebentar pada waktu tengah hari. Tunggu sebentar sebelum tidur sekiranya anda baru sahaja selesai makan. Tidur selama 1-2 jam adalah memadai.

 

Meskipun anda mengamalkan pemakanan yang lebih menjurus kepada mineral dan protein sahaja, ianya masih memberi kesan kepada tubuh badan anda. Pilih diet yang paling sesuai dengan anda; sesuai dengan tubuh, selera dan kepuasan hati anda.

Artikel disediakan oleh:
Cik Nurul Izzah binti Arifin
BKA, PKU. 

Tarikh Input: 09/08/2023 | Kemaskini: 09/08/2023 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcEA6~