PKU UPM Sertai Sukarelawan MAIS, Perkasa Kesedaran Kesihatan Komuniti | UNIVERSITY HEALTH CENTRE pku
» NEWS » PKU UPM Sertai Sukarelawan MAIS, Perkasa Kesedaran Kesihatan Komuniti

PKU UPM Sertai Sukarelawan MAIS, Perkasa Kesedaran Kesihatan Komuniti

Semenyih, 27 September 2025 – Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah turut serta menyertai Program Promosi Kesihatan Sukarelawan anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena Program Pemurnian Rekod Pendaftaran Pengislaman dan Dakwah Orang Asli Daerah Hulu Langat Tahun 2025, yang berlangsung di Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, Semenyih.

Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada jemputan MAIS kepada Universiti Putra Malaysia untuk terlibat sebagai sukarelawan dalam program Community Service Responsibility (CSR) yang bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Pasukan PKU telah membuka kaunter pemeriksaan kesihatan percuma yang menawarkan ujian tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan paras gula darah serta memberi konsultasi kesihatan kepada penduduk. Selain itu, turut diadakan demonstrasi amalan mencuci tangan dan pemotongan kuku yang dikendalikan oleh YBrs. Dr. Nurhayati Mohd Sobki, Pegawai Perubatan PKU. Aktiviti ini menarik penyertaan seramai 52 orang kanak-kanak, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan komuniti setempat.

 

Seramai 134 orang penduduk hadir dan mendapat manfaat daripada aktiviti yang dijalankan. Menurut wakil PKU, penglibatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, malah memberi peluang kepada warga universiti untuk mendekati komuniti luar bandar melalui aktiviti pendidikan dan pencegahan kesihatan.

Kerjasama antara Universiti Putra Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh jaringan komuniti serta menyemai nilai kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti.

Date of Input: 07/10/2025 | Updated: 23/10/2025 | nursyamimi

MEDIA SHARING

UNIVERSITY HEALTH CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 5020
.
W, (01:21:38pm-01:26:38pm, 19 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]