.
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 – Program promosi kesihatan pergigian anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPM berjaya menceriakan penghuni Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan di ibu negara menerusi program khas bertemakan “Hari Senyuman Istimewa”.

Program ini mendapat sentuhan istimewa apabila buat julung kalinya ia dijalankan secara kolaboratif bersama Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik, Fakulti Pergigian, serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Dirasmikan oleh Ketua PKU UPM, Dr. Arma Noor, program yang bermula seawal jam 9 pagi ini menyasarkan 77 orang penghuni rumah jagaan yang berusia antara 6 hingga 45 tahun. Mereka terdiri daripada individu berkeperluan khas seperti autisme, sindrom down, cerebral palsy, masalah pembelajaran serta kekurangan dari segi pendengaran dan pertuturan. Turut hadir ialah lima orang penjaga yang berdedikasi menguruskan rumah kebajikan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pengisian program dimulakan dengan ceramah kesihatan pergigian oleh Dr. Noorhidayah binti Zainal Aalam dari Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik. Beliau turut mengetuai sesi latihan memberus gigi dengan teknik yang betul kepada para penghuni, dibantu oleh pasukan pergigian dari Universiti Malaya. Dalam usaha menyokong penjagaan kesihatan oral yang lebih baik, PKU UPM turut menyumbangkan berus gigi elektrik, ubat gigi berfluorida dan rak penyimpanan alatan pembersihan gigi.
Sesi seterusnya dikendalikan oleh pelajar-pelajar dari Pusat Penyelidikan & Pembangunan Keluarga, Fakulti Pendidikan UM, dengan pemantauan Prof. Madya Dr. Fonny, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga. Aktiviti interaktif seperti permainan kerusi berirama dan pertandingan mewarna nyata menceriakan suasana, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan mental para penghuni dan penjaga.
Majlis penutup diserikan dengan penyerahan sumbangan barangan asas oleh Ketua Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM, Dr. Ahmad Kamarul, bersama Prof. Madya Dr. Fonny kepada wakil pengurusan rumah jagaan, Puan Fauziah.
Pengurusan rumah jagaan menzahirkan penghargaan atas sumbangan serta ilmu yang disampaikan, terutama berkaitan penggunaan berus gigi elektrik dan pemilihan ubat gigi berfluorida yang sesuai.
Menurut pihak penganjur, program ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap kesihatan oral golongan istimewa, malah berjaya mengukir senyuman dan mengeratkan hubungan komuniti dengan institusi pendidikan tinggi. Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan bagi manfaat komuniti istimewa pada masa hadapan.
Date of Input: 11/06/2025 | Updated: 11/06/2025 | izzatussofia

Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang
Selangor Darul Ehsan.