TAKLIMAT PENGURUSAN ENDOWMEN, DERMA DAN SUMBANGAN OLEH PUSAT PENGAYAAN DAN KEMAKMURAN (CEP) UPM | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» BERITA » TAKLIMAT PENGURUSAN ENDOWMEN, DERMA DAN SUMBANGAN OLEH PUSAT PENGAYAAN DAN KEMAKMURAN (CEP) UPM

TAKLIMAT PENGURUSAN ENDOWMEN, DERMA DAN SUMBANGAN OLEH PUSAT PENGAYAAN DAN KEMAKMURAN (CEP) UPM

Serdang, 16 April 2026 – Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan satu sesi Taklimat Pengurusan Endowmen, Derma dan Sumbangan yang disampaikan oleh Pusat Pengayaan dan Kemakmuran (CEP) pada hari ini.

Taklimat yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di Bilik Seminar PKU UPM ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga universiti mengenai peranan CEP serta memperkenalkan Garis Panduan Endowmen, Derma dan Sumbangan (GPEDS) yang terkini.

Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh barisan penceramah daripada CEP iaitu Pn. Besek Intan Zafina Binti Basok, Dr. Intan Nurdiah Binti Mohd Haris dan Encik Mohd Rizzuan Bin Mohd Arif yang berkongsi kepakaran serta pengalaman masing-masing dalam pengurusan endowmen dan dana sumbangan.

Taklimat ini telah dihadiri oleh pegawai dan staf PKU yang terlibat secara langsung dalam pengurusan kewangan dan penjanaan dana. Para peserta telah diberikan penerangan menyeluruh berkaitan konsep endowmen, kaedah pengurusan sumbangan serta kepentingan pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurut penganjur, taklimat ini amat penting dalam memastikan penyelarasan strategi pendanaan di peringkat universiti serta meningkatkan kecekapan pengurusan dana secara telus dan sistematik. Selain itu, ia juga bertujuan memperkukuhkan kefahaman warga kerja terhadap tatacara penerimaan dan pengurusan derma serta sumbangan selaras dengan dasar universiti.

Diharapkan melalui taklimat ini, semua pihak yang terlibat dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam memperkukuh usaha penjanaan pendapatan universiti serta memastikan tadbir urus kewangan yang lebih berkesan pada masa hadapan.



       



Disediakan oleh:
Pn Noor Baizura Mohd Safifee
Penolong Pegawai Tadbir PKU UPM

Tarikh Input: 30/04/2026 | Kemaskini: 30/04/2026 | noorbaizura

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 5020
.
X, (04:37:27pm-04:42:27pm, 09 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]