Masalah Pendengaran Dan Pekerja Berisiko | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Masalah Pendengaran dan Pekerja Berisiko

Masalah Pendengaran dan Pekerja Berisiko

Masalah Pendengaran dan Pekerja Berisiko

 

Menurut Kementerian Sumber Manusia, masalah pendengaran disebabkan bunyi bising merupakan hazad yang tertinggi pada tahun 2012 dengan kes sebanyak 956. Jumlah ini meningkat berbanding tahun 2011 yang mencatatkan 867 kes. Dan terkini pada tahun 2016 dilaporkan sebanyak 2876 kes yang telah disahkan hasil siasatan Jawatan Kuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Malaysia.

Statistik ini yang telah dirujuk dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menunjukkan pendedahan kepada bunyi bising sememangnya merupakan cabaran utama dalam sektor pekerjaan. Masalah pendengaran yang disebabkan bunyi bising berlaku setelah kita terdedah pada bunyi bising pada jangka masa atau tahap bunyi berlebihan seperti bunyi mesin atau jentera di tempat kerja. Walaubagaimanapun, mendengar bunyi bising di tempat kerja dalam masa singkat dan bukan berulang tidak menjadi ancaman utama kepada deria pendengaran. Namun, jika berulang, ia akan menyebabkan kerosakan kepada pendengaran untuk jangka masa yang panjang.

Kadang-kala ia turut berlaku kepada seseorang guru yang mengajar di sekolah atau di kelas yang terlalu bising ataupun seseorang yang terdedah kepada bunyi televisyen yang bising dan lama. Pada tahun 1998, National Institute of Occupational Safety & Health (NIOSH) telah mengeluarkan piawaian tahap kekuatan bunyi dan jangka masa yang dibenarkan untuk terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja. Piawaiannya adalah seperti berikut:

 

Simptom:

Antara simptom awal anda mendapat masalah pendengaran disebabkan oleh bunyi bising adalah:

  • Mendengar bunyi berdesing di dalam telinga
  • Kurang pendengaran di sebelah telinga atau kedua-dua belah telinga
  • Sakit telinga

Kesan dan komplikasi:

Seseorang yang mengalami masalah pendengaran yang disebabkan bunyi bising ini mungkin turut mengalami pelbagai kesukaran dan masalah seperti berikut.

  • Masalah komunikasi terutama sekali dalam persekitaran yang bising
  • Boleh mendengar tetapi tidak memahami perbualan
  • Bercakap dengan suara yang kuat
  • Selalu meminta perbualan diulang
  • Tidak boleh mendengar radio atau menonton televisyen pada kekuatan bunyi yang normal
  • Keadaan emosi akan terganggu seperti cepat marah, letih atau rasa terasing
  • Mengalami kepeningan dan kurang keseimbangan badan

Siapa yang berisiko?

Golongan pekerja yang berkemungkinan terdedah kepada masalah ini adalah seperti berikut :

  • Pekerja kilang kain/tekstil
  • Pekerja kilang keluli
  • Pekerja kuari
  • Tentera dan polis yang menjalani latihan menembak
  • Pekerja industri pemprosesan makanan
  • Pekerja di lapangan terbang
  • Pekerja industri logam
  • Pekerja kilang perabot
  • Kakitangan unit vektor

Langkah Pencegahan:

Masalah pendengaran disebabkan bunyi bising adalah kerosakan pendengaran jenis kekal dan sukar dipulihkan. DOSH telah membuat dasar untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat kepada pekerja dan majikan. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab bersama pihak majikan dan pekerja untuk mengimplementasi ruang kerja yang sihat dan selamat. Antara akta yang telah dikuatkuasakan oleh DOSH ialah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Bunyi bising dari persekitaran pekerjaan sememangnya sukar dikawal. Namun, masalah ini dapat dibendung dengan beberapa cara. Antaranya:

  • Pemakaian alat pelindung pendengaran(Personal Protective Equipment – PPE) iaitu earplug, earmuff atau kedua-duanya sekali terutama sekali ketika bekerja

 

 

Tanda keselamatan alat pelindung pendengaran

 

 

 

  Ear muff      

Sumber : http://www.sharpesafety.com/

Ear plug

Sumber : http://www.earplugstore.com/

  • Kawalan kejuruteraan ke atas mesin atau tempat kerja.
    • Antara kawalan kejuruteraan yang boleh dicadangkan ialah penyerap bunyi atau pembahagi antara pekerja dan mesin. Namun, cara ini jarang dilaksanakan kerana perbelanjaan yang mahal
  • Pembahagian waktu bekerja, syif ataupun sistem giliran kerja.
    • Ia untuk mengurangkan pendedahan pekerja kepada bunyi bising yang berlebihan. Dalam hal ini, pihak majikan harus mengambil kira faktor masa dan tahap bunyi yang terdedah kepada pekerja mereka.
  • Ujian pendengaran berkala.
    • Ujian ini dibuat sebagai langkah pemantauan dan dijalankan setahun sekali sepanjang tempoh bekerja. Bagaimanapun, ujian saringan pendengaran sebelum bekerja adalah perlu bagi tujuan pemantauan awal dan rujukan jika berlaku sebarang tuntutan oleh pekerja.

Diagnosis:

Jika terdapat tanda-tanda mempunyai masalah pendengaran disebabkan bunyi bising, berikut adalah  garis panduan yang akan dilakukan:

  • Mendapatkan khidmat nasihat yang pakar dalam bidang ini iaitu Pegawai Audiologi dan menjalani ujian pendengaran.
  • Setelah anda disahkan mempunyai masalah pendengaran yang disebabkan bunyi bising, anda akan dirujuk kepada Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) untuk mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
  • Kes akan dilaporkan kepada pihak majikan untuk tindakan selanjutnya sama ada untuk tuntutan pampasan, pertukaran syif bekerja atau melakukan kawalan kejuruteraan.
  • Sekiranya, masalah anda ini telah kekal dan tidak boleh dirawat, anda dinasihatkan memakai alat bantuan pendengaran (ABP). Alat ini digunakan untuk membantu anda mendengar dengan lebih kuat.

  

Beberapa jenis ABP yang boleh didapati

Ramai tertanya-tanya adakah mereka masih boleh bekerja setelah didiagnos mempunyai penyakit ini. Jawapannya adalah ya. Anda boleh bekerja tetapi dengan beberapa syarat iaitu :

  • Anda tidak lagi terdedah kepada bunyi bising yang berlebihan
  • Masalah pendengaran anda tidak mengganggu kerja anda dan pekerja lain
  • Pihak majikan telah dimaklumkan tentang perkara ini dan tindakan di pihak mereka telah diambil

Ingat, mencegah lebih baik dari mengubati.

Disediakan oleh:

Dr Siti Noor Azlidah Bt Ali
Doktor Kesihatan Pekerjaan PKU

Rujukan:

  1. http://www.dosh.gov.my
  2. National Institute for Occupational Safety and Health (1998). Criteria for a recommended standard: Occupational noise exposure. U.S. Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention.

 

Tarikh Input: 26/12/2019 | Kemaskini: 26/10/2023 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXDdBA1~